DIRIKU HAMBA YANG LEMAH

Sabtu, 6 Oktober 2012

Cerpen Direka Sendiri



KERANA BUDIMU
Fadhilah Saei

Pada suatu petang, aku merenung nasib keluargaku yang serba kekurangan ini. Rumah usangku terletak di hujung kawasan sawah padi. Papan dinding rumahku menunggu saat dan ketika mahu tumbang. Di belakang rumahku pula dipenuhi belukar dan semak yang mungkin menjadi tempat berteduh binatang berbisa seperti ular dan sebagainya. Rumah inilah yang menjadi tempat aku bersama-sama kedua ibu bapaku serta lima saudaraku berteduh daripada hujan dan panas. Kami sudah terbiasa hidup dalam serba kesusahan sejak dilahirkan lagi. Tidak pernah aku merungut kepada kedua ibu bapaku tentang kekurangan yang dirasai. Setiap kali aku berasa kekurangan itu wujud, aku akan cepat-cepat melenyapkanya dan cuba memahami keadaan kami sekeluarga.
            Kedua ibu bapaku bukanlah berasal daripada keturunan kaya raya. Ibuku seorang suri rumah telah menjadi anak yatim piatu sejak kecil lagi dan dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Manakala bapaku merupakan seorang tukang kayu berasal daripada keluarga besar dan tidak mempunyai apa-apa harta yang diwarisi. Kehidupan kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Beruntungnya kami kerana rumah kami berhampiran dengan semak-samun. Pucuk-pucuk kayu dan ulam-ulaman seperti pucuk paku, pucuk ubi adalah menu wajib kami setiap hari. Kami makan bukan untuk merasakan nikmat makan tetapi hanya mengalas perut untuk meneruskan hidup. Namun, kami tetap bersyukur dengan kurnian-Nya. Aku teringat akan hadis riwayat Al-Baihaqi yang disebut oleh ustazah yang berbunyi:
Apabila dibukakan bagi seseorang pintu rezeki maka hendaklah dia melestarikannya. (HR. Al-Baihaqi)
“Tuhan..Kau murahkanlah rezekiku..” bisik hati kecilku.
            Pelbagai cara tuhan boleh memberi rezeki kepada kita. Dan pucuk-pucuk kayu itu adalah rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T kepada keluargaku. Kita perlulah bersyukur akan rezeki yang diperolehi. Aku tidak pernah menyesal dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Dari segi zahirnya memang kami miskin harta. Emak dan ayahku sering berpesan ‘biarlah miskin harta tetapi janganlah miskin adat dan ilmu agama.’ Aku berasa berbangga dilahirkan dalam keluarga ini kerana ia telah mengajar aku erti kesabaran, pengorbanan, kesederhanaan dan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh emak dan ayah sejak kecil lagi.
            Aku teringat peristiwa aku telah diejek oleh kawan-kawanku di sekolah kerana tidak mampu menyediakan pakaian sekolah baru sempena sesi persekolahan yang baru bermula. Ketika itu aku baru melangkah ke alam tingkatan dua. Aku dipanggil ‘budak comot’ dan ‘budak miskin’ kerana pakaianku dilihat dari luar tidak sebersih pakaian mereka. Pakaianku agak kekuningan disebabkan warna air telaga yang berkarat. Hakikatnya pakaian aku lebih bersih daripada mereka kerana setiap hari aku akan pastikannya bersih daripada apa-apa kotoran manakala pakaian mereka walaupun putih terlihat kesan-kesan makanan dilengan baju dan tudung. Walaupun kami miskin, kami telah dididik menjadi seorang yang pembersih. Di kawasan rumahku tidak akan ada satu pun plastik atau sampah. Setiap hari minggu kami sekeluarga akan bersama-sama membersih kawasan rumah dan membuangnya ditempat yang sepatutnya.
            Gelaran itu sebenarnya menjadi semangat kepadaku untuk mengubah nasib keluargaku dengan pendidikan. Ayahku selalu mengingatkan kami agar mementingkan pendidikan daripada segala hal. Walaupun ayahku seorang yang tidak berpelajaran, namun dia sedar bahawa kehidupan kami boleh diubah dengan pelajaran. Ayahku telah meletakkan harapan yang besar kepadaku untuk mengubah nasib keluarga kami memandangkan aku merupakan anak sulung. Sebagai anak perempuan sulung yang juga akan menjadi contoh kepada adik-adikku akan aku usaha merealisasikan impian ayahku untuk melihat aku berjaya.
       Masalah yang sering aku hadapi di awal-awal persekolahan adalah lambat menunaikan bayaran yuran sekolah. Hal ini demikian kerana pendapatan ayahku tidak menentu. Kewangan yang ada hanya cukup-cukup keperluan dapur sahaja. Ketika di tingkatan dua, tuhan telah menghantar  seorang insan yang bergelar guru dan kebetulan beliau telah menjadi guru kelasku. Aku memanggilnya Cikgu Suzana. Cikgu Suzana telah banyak membantu aku dan mengubah kehidupanku sebagai seorang pelajar. Beliau telah memberi semangat kepadaku untuk terus maju dalam pelajaran. Sebagai guru, beliau sangat penyayang dan prihatin dengan permasalahan yang dihadapi murid-muridnya.
           Aku masih ingat ketika kami berbicara dari hati ke hati mengenai permasalahan yang aku hadapi. Ketika itu rekod pembelajaranku semakin merosot dan aku seorang sahaja yang belum membayar yuran sekolah. Pada hari itulah, pertama kalinya aku menceritakan permasalahan dan kekurangan yang ada dalam keluargaku kepada seseorang. Ianya seorang guru yang tidak pernah aku sangkakan seorang pendengar yang baik. Tidak pernah pun aku menceritakan kepada orang lain sebelum ini. Pada masa itu, Cikgu Suzana banyak memotivasikan aku. Beliau telah membayar semua yuran persekolahanku dan adik-adikku. Tidak pernah terlintas aku ketika itu, masih ada seorang insan sebaik Cikgu Suzana.
Beliau banyak membantu aku dan keluarga. Beliau sering berkunjung ke rumahku dan setiap kali kedatangnya akan berserta oleh-oleh seperti beras, gula dan beberapa makanan asas. Aku tidak tahu lagi bagaimana untuk membalas jasa Cikgu Suzana. Pernah aku bertanyakannya hal ini. Jawapan amat-amat menyentuh naluriku. Beliau mahu aku membalas budinya dengan keputusan yang cemerlang dan mahu aku menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama, bangsa dan negara. Dan beliau juga ada satu permintaan lagi yang tidak boleh aku ketahui untuk masa ini. Beliau akan memberitahu selepas aku dapat tunaikan permintaan pertamanya terlebih dahulu. Aku berfikir bahawa permintaan itu tidak satu pun memberi apa-apa sumbangan kepadanya. Sebaliknya, semua itu untuk diri aku sendiri. Namun, dengan cara itu sahaja aku dapat membalas segala jasa baiknya dan akan aku cuba tunaikannya. Manakala permintaan yang kedua itu, biarlah rahsia Cikgu Suzana walaupun hati aku melonjak ingin tahu.
Aku sering membantu Cikgu Suzana semasa di sekolah. Dengan cara itu sahaja buat masa ini aku boleh membantunya bagi membalas jasa baiknya kepadaku. Keakraban aku dengan Cikgu Suzana berlanjutan sehinggalah aku ke tingkatan lima. Aku telah berjaya menunaikan hasrat Cikgu Suzana dengan menjadi pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM. Keakraban kami sebenarnya telah dicemburui oleh rakan-rakan yang lain. Ada yang menggelarkan aku ‘anak kesayangan cikgu’. Gelaran itu sebenarnya amat disenangi oleh aku kerana aku telah menganggap Cikgu Suzana sabagai ibu keduaku. Cikgu Suzana juga pernah memberitahuku bahawa dia juga menganggapku seperti anaknya. Sebenarnya Cikgu Suzana juga mempunyai anak sebayaku. Tetapi aku tidak pernah bertemu walaupun pernah beberapa kali aku ke rumahnya. Dia hanya memberitu anaknya belajar di sekolah beasrama penuh dan setiap buku rujukan yang dibeli untuk anaknya akan dibeli juga untuk aku. Beruntungnya dia mempunyai seorang ibu yang amat baik hati. Dan aku juga diberitahu bahawa anak Cikgu Suzana merupakan salah seorang pelajar cermelang.
Selepas mendapat keputusan SPM aku telah mengambil keputusan untuk memohon ke sebuah Maktab Perguruan. Aku berjaya mendapat tempat di sebuah Maktab Perguruan di negeri Johor. Aku berjanji pada diri untuk menjadi seorang guru yang baik budinya seperti yang ditunjukkan Cikgu Rozana terhadapku. Aku masih tertanya-tanya akan permintaan Cikgu Suzana yang kedua yang belum aku tunaikan itu. Namun, setiap kali aku ajukan pertanyaan itu, Cikgu Suzana hanya menyuruhku bersabar dan tunggu pada masa yang sesuai. 
“Ibu! Ibu! Adik nangis..” puteri sulungku memanggilku dengan berlari-lari ke arahku.
Aku tersedar daripada lamunan yang mengimbas kisah lamaku dulu. Aku terus melangkah ke buaian anak keduaku yang terbangun daripada tidurnya. Suamiku datang menghampiriku dengan menghulurkan sebotol susu untuk puteraku. Aku amat bersyukur dengan kurnian seorang suami yang sangat-sangat memahami dan prihatin terhadap keluarganya. Suamiku sangat menyanyangiku dan anak-anakku. Sifatnya diwarisi daripada ibu mentuaku yang sangat berbudi kepadaku.
Ops!
Terlupa nak bagitahu bahawa sekarang aku pun telah berjaya menunaikan permintaan kedua Cikgu Suzana setelah tamat pengajianku. Ringkaskan cerita, permintaan kedua Cikgu Suzana ialah menjadi menantunya. Sebenarnya suamiku merupakan anak Cikgu Suzana. Cikgu Suzana sendiri yang melamarku agar terima menjadi menantunya. Aku telah dijodohkan dengan anaknya yang sebayaku dengan restu ibu bapa kedua-dua pihak. Aku sungguh terharu dengan penerimaan Cikgu Suzana terhadapku sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun hidup aku serba kekurangan.
Cikgu Suzana banyak menceritakan hal aku kepada anaknya itu sehingga suamiku amat mengagumi diriku walaupun aku merasakan tiada apa yang perlu dikagumi. Aku yang sepatutnya yang terlebih kagum kerana dapat bersuamikannya dan menjadi menantu kepada Cikgu Suzana. Suamiku juga seorang guru.
Kehidupan keluargaku juga telah banyak berubah. Semua adik-adikku telah berjaya dalam pelajaran. Emak dan ayahku telah membuka sebuah kedai runcit di kampung. Dengan pendapatan itu, emak dan ayahku telah pun berjaya menunaikan rukun Islam ke lima. Aku bahagia dengan kehidupanku sekarang. Aku bersyukur dengan dugaan dan kurnian tuhan kepadaku. Kurnian yang paling hebat dalam hidupku ialah seorang guru yang bernama Cikgu Suzana. Terima kasih guruku dan merangkap ibu mentuaku..syukuran.


Selesai juga akhirnya tugasan ASASMU

TERIMA KASIH KEPADA YANG SUDI MEMBACANYA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan