KERANA BUDIMU
Fadhilah Saei
Pada
suatu petang, aku merenung nasib keluargaku yang serba kekurangan ini. Rumah usangku
terletak di hujung kawasan sawah padi. Papan dinding rumahku menunggu saat dan
ketika mahu tumbang. Di belakang rumahku pula dipenuhi belukar dan semak yang
mungkin menjadi tempat berteduh binatang berbisa seperti ular dan sebagainya.
Rumah inilah yang menjadi tempat aku bersama-sama kedua ibu bapaku serta lima
saudaraku berteduh daripada hujan dan panas. Kami sudah terbiasa hidup dalam
serba kesusahan sejak dilahirkan lagi. Tidak pernah aku merungut kepada kedua
ibu bapaku tentang kekurangan yang dirasai. Setiap kali aku berasa kekurangan
itu wujud, aku akan cepat-cepat melenyapkanya dan cuba memahami keadaan kami
sekeluarga.
Kedua ibu bapaku bukanlah berasal
daripada keturunan kaya raya. Ibuku seorang suri rumah telah menjadi anak yatim
piatu sejak kecil lagi dan dibesarkan di rumah anak-anak yatim. Manakala bapaku
merupakan seorang tukang kayu berasal daripada keluarga besar dan tidak
mempunyai apa-apa harta yang diwarisi. Kehidupan kami sekeluarga ibarat kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang. Beruntungnya kami kerana rumah kami
berhampiran dengan semak-samun. Pucuk-pucuk kayu dan ulam-ulaman seperti pucuk
paku, pucuk ubi adalah menu wajib kami setiap hari. Kami makan bukan untuk
merasakan nikmat makan tetapi hanya mengalas perut untuk meneruskan hidup.
Namun, kami tetap bersyukur dengan kurnian-Nya. Aku teringat akan hadis riwayat
Al-Baihaqi yang disebut oleh ustazah yang berbunyi:
Apabila dibukakan bagi seseorang pintu rezeki maka hendaklah
dia melestarikannya. (HR. Al-Baihaqi)
“Tuhan..Kau murahkanlah rezekiku..” bisik hati kecilku.
Pelbagai
cara tuhan boleh memberi rezeki kepada kita. Dan pucuk-pucuk kayu itu adalah
rezeki yang dikurniakan Allah S.W.T kepada keluargaku. Kita perlulah bersyukur
akan rezeki yang diperolehi. Aku tidak pernah menyesal dilahirkan dalam
keluarga yang serba kekurangan. Dari segi zahirnya memang kami miskin harta.
Emak dan ayahku sering berpesan ‘biarlah miskin harta tetapi janganlah miskin
adat dan ilmu agama.’ Aku berasa berbangga dilahirkan dalam keluarga ini kerana
ia telah mengajar aku erti kesabaran, pengorbanan, kesederhanaan dan nilai-nilai
murni yang diterapkan oleh emak dan ayah sejak kecil lagi.
Aku teringat
peristiwa aku telah diejek oleh kawan-kawanku di sekolah kerana tidak mampu
menyediakan pakaian sekolah baru sempena sesi persekolahan yang baru bermula.
Ketika itu aku baru melangkah ke alam tingkatan dua. Aku dipanggil ‘budak comot’
dan ‘budak miskin’ kerana pakaianku dilihat dari luar tidak sebersih pakaian
mereka. Pakaianku agak kekuningan disebabkan warna air telaga yang berkarat.
Hakikatnya pakaian aku lebih bersih daripada mereka kerana setiap hari aku akan
pastikannya bersih daripada apa-apa kotoran manakala pakaian mereka walaupun
putih terlihat kesan-kesan makanan dilengan baju dan tudung. Walaupun kami
miskin, kami telah dididik menjadi seorang yang pembersih. Di kawasan rumahku
tidak akan ada satu pun plastik atau sampah. Setiap hari minggu kami sekeluarga
akan bersama-sama membersih kawasan rumah dan membuangnya ditempat yang
sepatutnya.
Gelaran itu
sebenarnya menjadi semangat kepadaku untuk mengubah nasib keluargaku dengan
pendidikan. Ayahku selalu mengingatkan kami agar mementingkan pendidikan
daripada segala hal. Walaupun ayahku seorang yang tidak berpelajaran, namun dia
sedar bahawa kehidupan kami boleh diubah dengan pelajaran. Ayahku telah
meletakkan harapan yang besar kepadaku untuk mengubah nasib keluarga kami memandangkan
aku merupakan anak sulung. Sebagai anak perempuan sulung yang juga akan menjadi
contoh kepada adik-adikku akan aku usaha merealisasikan impian ayahku untuk
melihat aku berjaya.
Masalah yang
sering aku hadapi di awal-awal persekolahan adalah lambat menunaikan bayaran
yuran sekolah. Hal ini demikian kerana pendapatan ayahku tidak menentu.
Kewangan yang ada hanya cukup-cukup keperluan dapur sahaja. Ketika di tingkatan
dua, tuhan telah menghantar seorang
insan yang bergelar guru dan kebetulan beliau telah menjadi guru kelasku. Aku
memanggilnya Cikgu Suzana. Cikgu Suzana telah banyak membantu aku dan mengubah
kehidupanku sebagai seorang pelajar. Beliau telah memberi semangat kepadaku
untuk terus maju dalam pelajaran. Sebagai guru, beliau sangat penyayang dan prihatin
dengan permasalahan yang dihadapi murid-muridnya.
Aku masih
ingat ketika kami berbicara dari hati ke hati mengenai permasalahan yang aku
hadapi. Ketika itu rekod pembelajaranku semakin merosot dan aku seorang sahaja
yang belum membayar yuran sekolah. Pada hari itulah, pertama kalinya aku
menceritakan permasalahan dan kekurangan yang ada dalam keluargaku kepada
seseorang. Ianya seorang guru yang tidak pernah aku sangkakan seorang pendengar
yang baik. Tidak pernah pun aku menceritakan kepada orang lain sebelum ini.
Pada masa itu, Cikgu Suzana banyak memotivasikan aku. Beliau telah membayar
semua yuran persekolahanku dan adik-adikku. Tidak pernah terlintas aku ketika
itu, masih ada seorang insan sebaik Cikgu Suzana.
Beliau banyak membantu aku dan keluarga. Beliau sering
berkunjung ke rumahku dan setiap kali kedatangnya akan berserta oleh-oleh
seperti beras, gula dan beberapa makanan asas. Aku tidak tahu lagi bagaimana
untuk membalas jasa Cikgu Suzana. Pernah aku bertanyakannya hal ini. Jawapan
amat-amat menyentuh naluriku. Beliau mahu aku membalas budinya dengan keputusan
yang cemerlang dan mahu aku menjadi insan yang berguna kepada keluarga, agama,
bangsa dan negara. Dan beliau juga ada satu permintaan lagi yang tidak boleh
aku ketahui untuk masa ini. Beliau akan memberitahu selepas aku dapat tunaikan
permintaan pertamanya terlebih dahulu. Aku berfikir bahawa permintaan itu tidak
satu pun memberi apa-apa sumbangan kepadanya. Sebaliknya, semua itu untuk diri
aku sendiri. Namun, dengan cara itu sahaja aku dapat membalas segala jasa
baiknya dan akan aku cuba tunaikannya. Manakala permintaan yang kedua itu,
biarlah rahsia Cikgu Suzana walaupun hati aku melonjak ingin tahu.
Aku sering membantu Cikgu Suzana semasa di sekolah. Dengan
cara itu sahaja buat masa ini aku boleh membantunya bagi membalas jasa baiknya
kepadaku. Keakraban aku dengan Cikgu Suzana berlanjutan sehinggalah aku ke
tingkatan lima. Aku telah berjaya menunaikan hasrat Cikgu Suzana dengan menjadi
pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM. Keakraban kami sebenarnya
telah dicemburui oleh rakan-rakan yang lain. Ada yang menggelarkan aku ‘anak
kesayangan cikgu’. Gelaran itu sebenarnya amat disenangi oleh aku kerana aku
telah menganggap Cikgu Suzana sabagai ibu keduaku. Cikgu Suzana juga pernah
memberitahuku bahawa dia juga menganggapku seperti anaknya. Sebenarnya Cikgu
Suzana juga mempunyai anak sebayaku. Tetapi aku tidak pernah bertemu walaupun
pernah beberapa kali aku ke rumahnya. Dia hanya memberitu anaknya belajar di
sekolah beasrama penuh dan setiap buku rujukan yang dibeli untuk anaknya akan
dibeli juga untuk aku. Beruntungnya dia mempunyai seorang ibu yang amat baik
hati. Dan aku juga diberitahu bahawa anak Cikgu Suzana merupakan salah seorang
pelajar cermelang.
Selepas mendapat keputusan SPM aku telah mengambil keputusan
untuk memohon ke sebuah Maktab Perguruan. Aku berjaya mendapat tempat di sebuah
Maktab Perguruan di negeri Johor. Aku berjanji pada diri untuk menjadi seorang
guru yang baik budinya seperti yang ditunjukkan Cikgu Rozana terhadapku. Aku
masih tertanya-tanya akan permintaan Cikgu Suzana yang kedua yang belum aku
tunaikan itu. Namun, setiap kali aku ajukan pertanyaan itu, Cikgu Suzana hanya
menyuruhku bersabar dan tunggu pada masa yang sesuai.
“Ibu! Ibu! Adik nangis..” puteri sulungku memanggilku dengan
berlari-lari ke arahku.
Aku tersedar daripada lamunan yang mengimbas kisah lamaku
dulu. Aku terus melangkah ke buaian anak keduaku yang terbangun daripada
tidurnya. Suamiku datang menghampiriku dengan menghulurkan sebotol susu untuk
puteraku. Aku amat bersyukur dengan kurnian seorang suami yang sangat-sangat
memahami dan prihatin terhadap keluarganya. Suamiku sangat menyanyangiku dan
anak-anakku. Sifatnya diwarisi daripada ibu mentuaku yang sangat berbudi
kepadaku.
Ops!
Terlupa nak bagitahu bahawa sekarang aku pun telah berjaya
menunaikan permintaan kedua Cikgu Suzana setelah tamat pengajianku. Ringkaskan
cerita, permintaan kedua Cikgu Suzana ialah menjadi menantunya. Sebenarnya
suamiku merupakan anak Cikgu Suzana. Cikgu Suzana sendiri yang melamarku agar
terima menjadi menantunya. Aku telah dijodohkan dengan anaknya yang sebayaku
dengan restu ibu bapa kedua-dua pihak. Aku sungguh terharu dengan penerimaan
Cikgu Suzana terhadapku sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun hidup aku serba
kekurangan.
Cikgu Suzana banyak menceritakan hal aku kepada anaknya itu
sehingga suamiku amat mengagumi diriku walaupun aku merasakan tiada apa yang
perlu dikagumi. Aku yang sepatutnya yang terlebih kagum kerana dapat
bersuamikannya dan menjadi menantu kepada Cikgu Suzana. Suamiku juga seorang
guru.
Kehidupan keluargaku juga telah banyak berubah. Semua
adik-adikku telah berjaya dalam pelajaran. Emak dan ayahku telah membuka sebuah
kedai runcit di kampung. Dengan pendapatan itu, emak dan ayahku telah pun berjaya
menunaikan rukun Islam ke lima. Aku bahagia dengan kehidupanku sekarang. Aku
bersyukur dengan dugaan dan kurnian tuhan kepadaku. Kurnian yang paling hebat
dalam hidupku ialah seorang guru yang bernama Cikgu Suzana. Terima kasih guruku
dan merangkap ibu mentuaku..syukuran.
Selesai juga akhirnya tugasan ASASMU
TERIMA KASIH KEPADA YANG SUDI MEMBACANYA